Pasca PRU13: Perkauman makin menggila.

Apabila ramai yang cuba menafikan bahawa PRU13 adalah bukti perpecahan kaum dengan begitu banyak isu-isu perkauman yang timbul, mereka ini sebenarnya hidup dalam penafian realiti. Hakikat yang nyata adalah benar, keputusan PRU13 menunjukkan betapa isu perkauman menyubur di kalangan rakyat. Salah siapa? Saya secara yakin dan terbuka menyalahkan permainan ahli politik kedua pihak, baik Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat. Hakikat ini seharusnya diterima, bukan disepi atau diketepi kerana apabila kita faham dan terima, maka mudahlah kita mencari penawar untuk mengubatinya.

Keputusan PRU13 bukanlah detik bermula isu perkauman, sebaliknya ia adalah hasil semaian yang dibaja dan disuburkan ahli-ahli politik kepada rakyat sebelumnya lagi. Kalau anda masih ingat, ketika debat Chua Soi Lek dan Lim Guan Eng tahun lalu, isu besar yang didebatkan ketika itu adalah bagaimana CSL cuba menakutkan bangsa Cina daripada mengundi Pembangkang dengan menggunakan isu hudud. LGE pula mengapi-apikan isu MCA yang bekerjasama dengan UMNO untuk terus menerus membantu orang Melayu mendapatkan kelebihan dalam semua bidang menerusi polisi yang mereka gambarkan berat sebelah dan menindas kaum lain.

Kesannya? Baik daripada kenyataan Soi Lek mahupun Guan Eng, kedua-duanya telah menimbulkan rasa tidak puas hati malah ada yang benci kepada kaum Melayu di Malaysia. Bagi penyokong BN, mereka merasakan kalau PR menang, habislah hidup mereka kerana hudud akan dilaksanakan. Tiada lagi arak dan babi, tiada lagi judi (persepsi). Bagi penyokong PR, undi kepada BN bermakna merelakan orang Melayu terus hidup dengan nikmat ‘hak keistimewaan’ dan terus ditindas dengan polisi berat sebelah. Sehinggakan saya masih ingat di Twitter saya, seorang rakan berkata “Aku India. Tapi aku lahir di sini. Aku belajar dan bekerja di Malaysia. Aku rakyat Malaysia. Kenapa aku tidak dilayan sebagai rakyat.”

Api perkauman terus dimarakkan menjelang 2 minggu berkempen selepas penamaan calon. Kempen perkauman paling jelas berbunyi begini

Kempen Barisan Nasional : 1 Undi DAP = 1 Undi PAS

Kempen Pakatan Rakyat: 1 Undi BN = 1 Undi Perkasa (badan yang terkenal perjuangkan hak Melayu).

Isu ini terus dimainkan apabila nama-nama calon diumumkan. Ada yang menempelak Pas kerana meletakkan calon Cina, ada yang menempelak Umno kerana meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Cina. Mereka tidak sedar kempen mereka semua ini kempen tolol, yang bukannya menyebabkan kebencian kepada pihak lawan untuk mereka meraih undi, tetapi kebencian kepada bangsa Melayu. Tidak kira kempen BN atau PR, akhirnya yang dibenci adalah Melayu Perkasa, yang ditakuti adalah Melayu PAS.

Tidak cukup sekadar berkempen, kesan keputusan pilihanraya yang begitu mengejutkan juga disambut dengan sentimen yang penuh nilai perkauman oleh seorang Perdana Menteri yang menyalahkan kaum Cina sebagai faktor kekalahan BN di kebanyakkan tempat. Di laman twitter juga, banyak dari kalangan orang kanan Umno turut menyalahkan pengundi Cina yang berpaling tadah. Tidak kurang di platform pembangkang juga, kekalahan majoriti calon PAS diadili dengan tuduhan pengundi cina yang membelot tidak menyokong mereka.

Ali Rustam secara terang-terangan menyalahkan kaum Cina atas kekalahan beliau dengan menyifatkan mereka tidak tahu bersyukur dan tidak mengenang jasa beliau. Kenyataan ini paling mengecewakan saya kerana ia lahir dari seorang pemimpin utama negeri. Apa pemimpin ini tidak berakal? Apa jasa perlu dikenang. Kamu dipilih rakyat, dibayar oleh duit rakyat untuk berkhidmat untuk rakyat. Kamu pilih laluan kamu begitu. Apa perlu saya bersyukur dan berterima kasih mengenangkan jasa India Muslim (mamak) Restoren Jamek Maju dihadapan rumah saya yang setiap hari bertungkus lumus bangun awal pagi menebar roti canai dengan panas api hanya untuk saya bersarapan pagi. Saya bayar. Kalau tak sedap, saya tak suka, saya #ubah restoren lain. Begitulah rakyat Melaka membuat pilihan. #Ubah kerana mungkin ‘jasa’ Ali Rustam tidak cukup dan tidak setimpal dengan keperluan ‘tuan’ atau ‘pelanggan’ iaitu rakyat.

Kempen menyemarakkan api perkauman diteruskan oleh media-media arus perdana dan alternatif dengan laporan-laporan yang menuding jari ke arah sesuatu kaum. Paling kontroversi muka utama Utusan Malaysia 7 Mei 2013 membentangkan soalan besar “Apa Cina mahu?” cukup sinis dan sensitif. Saya harap Ketua Pengarang bertanggungjawab sepenuhnya dan memohon maaf segera. Saya difahamkan juga laporan akhbar berbahasa lain tidak kurang hebatnya menuding jari ke Melayu. Terlalu sensitif sehingga saya risau untuk nyatakan disini.

Lihatlah! Siapa sebenarnya yang memulakan api perkauman, siapa yang sebenarnya menyemarakkan api perkauman, siapa yang menyimbah minyak untuk terus membarakan ketegangan kaum yang sedia ada. Pemimpin kita. Tidak kira anda BN atau PR, anda lihat dan nilailah dengan mata hati yang terbuka.

Seharusnya, pemimpin-pemimpin ini menggunakan istilah yang lebih baik iaitu rakyat Malaysia. BN menang kerana rakyat Malaysia bersatu menyokong dasar mereka, bukannya BN menang kerana Melayu suka duit yang dihulur mereka. DAP menang kerana rakyat Malaysia mahukan perubahan besar, bukannya DAP menang kerana Cina sokong mereka. PAS kalah kerana rakyat Malaysia tolak ketidakseimbangan dan manipulasi mereka, bukannya PAS kalah kerana Cina belot pada mereka. “Rakyat” yang mengundi, dan “Rakyat” yang memilih, maka “Rakyat”lah yang seharusnya dijadikan alasan. Bukannya sesuatu bangsa.

Saya pasti, dalam tempoh terdekat ini api kemarahan akan memuncak apabila lebih banyak pemimpin yang akan memberikan komen-komen berbau perkauman, lebih banyak liputan media terutama media alternatif terutama blog bebas yang melagakan antara kaum, dan yang lebih parah apabila media sosial akan digunakan sebagai pentas berdebat secara semberono membabi buta oleh golongan-golongan yang sememangnya sudah buta hati. Hari ini sahaja saya boleh memantau daripada ratusan sahabat-sahabat saya di Twitter, sudah mula hilang akal berbicara soal kaum dengan nada yang kasar.

Nampaknya kita masih belum belajar dengan sejarah. Peristiwa hitam 13 Mei  1969 sepatutnya mengajar kita untuk menjadi lebih rasional dan bijak kerana faktor utama berlakunya insiden berdarah ini adalah kempen pilihanraya umum 1969 yang menggunakan perkauman sebagai senjata oleh kedua pihak. Senarionya sama sahaja. Parti pemerintah ketika itu hilang majoriti 2/3 dan undi popular merosot. Pembangkang meraikan kemenangan besar mereka sehingga membuat perarakan di jalanan. 8 Mei 2013 dirancang satu rapat umum di Stadium Kelana Jaya mungkin adalah satu bahaya kepada kita. Ya! Memang saya membuat andaian liar sahaja. Ya! Memang rapat umum ini tidak bertujuan untuk meningkatkan sentimen perkauman, sama juga ketika perarakan 1969 juga bukan atas dasar perkauman tetapi meraikan. Sebaliknya, ia berubah menjadi perkauman apabila ada dari kalangan yang hadir tidak berotak dan cuba memaki dengan cacian berunsur perkauman. Apa mungkin esok akan terjadi? Saya tidak boleh menolak kemungkinan itu.

Yang lebih malang dan perlu dipelajari oleh semua kesan daripada pilihanraya 1969 dan prestasi buruk parti pemerintah ketika itu adalah apabila pemimpin masyarakat mula menuding jari ke arah sesuatu kaum dan menyalahkan kaum masing-masing. Orang Melayu ketika itu marah dan menganggap kaum Cina tidak mengenang jasa setelah diberi kerakyatan pasca kemerdekaan. Ali Rustam perlu menghayati detik sejarah ini sebelum membuat komen bodoh sebegitu.

Perkara bangang ini perlu dihentikan segera. Ini perlu bermula dengan pemimpin kedua belah BN dan PR. Mohon tidak ada lagi komen-komen yang menuding jari kepada mana-mana kaum secara spesifik tetapi mereka ini adalah rakyat Malaysia. Lim Kit Siang menang besar di Gelang Patah bukan kerana undi Cina, tapi undi rakyat Malaysia yang mahukan perubahan yang lebih besar ke arah Malaysia lebih baik. Sama juga Khairy Jamaluddin yang menang majoriti sangat besar di Rembau bukan kerana undi Melayu, tetapi rakyat Malaysia yang masih yakin dengan kepimpinan beliau dan Barisan Nasional. Ingatlah, kita semua rakyat Malaysia.

Tolonglah, hentikan kempen perkauman yang bodoh ini sebelum ia menjadi parah.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s