Lagi cubaan Guan Eng tindas Melayu, kali ini nak cuba tindas pelajar pula.

limKerajaan Negeri Pulau Pinang mempertimbangkan cadangan untuk memberikan bantuan RM1,000 kepada setiap pelajar dari negeri ini yang hendak kembali melanjutkan pelajaran di beberapa buah univesiti di Mesir tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, DatukMansor Othman berkata, cadangan tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco terlebih dahulu sebelum mendapat keputusan mutlak.
Ini berikutan rata-rata ibu bapa merasa resah mencari dana untuk menghantar anak mereka belajar setelah kembali ke tanah air menerusi Operasi Piramid (Ops Piramid) kelolaan Kerajaan Persekutuan.

Beliau yakin Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) akan membantu menerusi Pusat Urus Zakat (PUZ).
“Kerajaan negeri akan mencari jalan bagaimana untuk membantu pelajar dari Mesir untuk kembali belajar di sana bila keadaan di sana benar-benar aman.

“Insya Allah kita akan mencari dana bagi mengatasi kegusaran ibu bapa yang rata-ratanya daif,” tegasnya ketika pertemuan dengan pelajar Mesir di Dewan Sri Pinang, semalam.

Yang Dipertua Maipp, Ustaz Elias Zakaria memberitahu, PUZ akan cuba mengeluarkan dana kepada pelajar yang betul-betul memerlukan peruntukan untuk kembali menyambung pelajaran di sana.

Pengundi wanita sokong Barisan Nasional

JERAI 29 Okt. – Pergerakan Wanita UMNO yakin 54 peratus pengundi wanita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau akan memberikan undi mereka kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil kawasan itu, 4 November ini.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, keyakinan itu diperolehi setelah berkampung di kawasan Sungai Limau sejak beberapa hari lalu dan beliau melihat sendiri peralihan sokongan pengundi wanita kepada BN.

“Setelah berkampung di sini saya nampak kembali semula semangat dan azam daripada pengundi wanita untuk memberi sokongan kepada BN dan ramai antara mereka yang menaruh harapan tinggi kepada Datuk Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu.

“Saya yakin wanita akan sokong BN dan saya percaya pengaruh seorang wanita adalah kuat di dalam keluarga.

“Sebelum ini mereka di sini tidak ada peluang untuk berjinak dengan lebih dekat kepada BN mungkin kerana otak mereka telah dibasuh kata UMNO, BN ini jahat dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) di Dataran Mahsuri, Sungai Limau Dalam di sini hari ini.

Dalam majlis itu seramai 20 usahawan wanita dari kawasan Parlimen Jerai menerima pinjaman berjumlah RM200,000 daripada TEKUN bagi memajukan perniagaan mereka.

Menurut Shahrizat, pendekatan berjumpa pengundi wanita dari rumah ke rumah yang digerakkan oleh jentera Wanita UMNO membuatkan banyak maklumat yang sahih tentang kerajaan dapat disebarkan kepada mereka.

“Mereka rasa takut dengan kita, oleh itu dengan adanya PRK ini kita masuk serta duduk berbincang pelbagai perkara dengan kaum wanita.

“Saya sendiri terkejut apabila mendapati pengundi wanita yang dikatakan tinggal di kawasan hitam di DUN Sungai Limau ini sebenarnya menunggu kehadiran Wanita UMNO berjumpa mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, Shahrizat memberitahu, pihaknya menerima laporan mengenai jentera Muslimat Pas yang memakai tudung merah sewaktu memasuki kawasan-kawasan kampung untuk berkempen.

“Saya dapat tahu ada jentera mereka pun pakai tudung merah masuk dalam kawasan menyamar sebagai Wanita UMNO.

“Kita tahu mereka bukan ahli Wanita UMNO, tapi tak apa saya tidak mahu besarkan hal remeh begini sebab kita nak fokus pada soal pembangunan di sini sahaja,” katanya.

Pasca PRU13: Perkauman makin menggila.

Apabila ramai yang cuba menafikan bahawa PRU13 adalah bukti perpecahan kaum dengan begitu banyak isu-isu perkauman yang timbul, mereka ini sebenarnya hidup dalam penafian realiti. Hakikat yang nyata adalah benar, keputusan PRU13 menunjukkan betapa isu perkauman menyubur di kalangan rakyat. Salah siapa? Saya secara yakin dan terbuka menyalahkan permainan ahli politik kedua pihak, baik Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat. Hakikat ini seharusnya diterima, bukan disepi atau diketepi kerana apabila kita faham dan terima, maka mudahlah kita mencari penawar untuk mengubatinya.

Keputusan PRU13 bukanlah detik bermula isu perkauman, sebaliknya ia adalah hasil semaian yang dibaja dan disuburkan ahli-ahli politik kepada rakyat sebelumnya lagi. Kalau anda masih ingat, ketika debat Chua Soi Lek dan Lim Guan Eng tahun lalu, isu besar yang didebatkan ketika itu adalah bagaimana CSL cuba menakutkan bangsa Cina daripada mengundi Pembangkang dengan menggunakan isu hudud. LGE pula mengapi-apikan isu MCA yang bekerjasama dengan UMNO untuk terus menerus membantu orang Melayu mendapatkan kelebihan dalam semua bidang menerusi polisi yang mereka gambarkan berat sebelah dan menindas kaum lain.

Kesannya? Baik daripada kenyataan Soi Lek mahupun Guan Eng, kedua-duanya telah menimbulkan rasa tidak puas hati malah ada yang benci kepada kaum Melayu di Malaysia. Bagi penyokong BN, mereka merasakan kalau PR menang, habislah hidup mereka kerana hudud akan dilaksanakan. Tiada lagi arak dan babi, tiada lagi judi (persepsi). Bagi penyokong PR, undi kepada BN bermakna merelakan orang Melayu terus hidup dengan nikmat ‘hak keistimewaan’ dan terus ditindas dengan polisi berat sebelah. Sehinggakan saya masih ingat di Twitter saya, seorang rakan berkata “Aku India. Tapi aku lahir di sini. Aku belajar dan bekerja di Malaysia. Aku rakyat Malaysia. Kenapa aku tidak dilayan sebagai rakyat.”

Api perkauman terus dimarakkan menjelang 2 minggu berkempen selepas penamaan calon. Kempen perkauman paling jelas berbunyi begini

Kempen Barisan Nasional : 1 Undi DAP = 1 Undi PAS

Kempen Pakatan Rakyat: 1 Undi BN = 1 Undi Perkasa (badan yang terkenal perjuangkan hak Melayu).

Isu ini terus dimainkan apabila nama-nama calon diumumkan. Ada yang menempelak Pas kerana meletakkan calon Cina, ada yang menempelak Umno kerana meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Cina. Mereka tidak sedar kempen mereka semua ini kempen tolol, yang bukannya menyebabkan kebencian kepada pihak lawan untuk mereka meraih undi, tetapi kebencian kepada bangsa Melayu. Tidak kira kempen BN atau PR, akhirnya yang dibenci adalah Melayu Perkasa, yang ditakuti adalah Melayu PAS.

Tidak cukup sekadar berkempen, kesan keputusan pilihanraya yang begitu mengejutkan juga disambut dengan sentimen yang penuh nilai perkauman oleh seorang Perdana Menteri yang menyalahkan kaum Cina sebagai faktor kekalahan BN di kebanyakkan tempat. Di laman twitter juga, banyak dari kalangan orang kanan Umno turut menyalahkan pengundi Cina yang berpaling tadah. Tidak kurang di platform pembangkang juga, kekalahan majoriti calon PAS diadili dengan tuduhan pengundi cina yang membelot tidak menyokong mereka.

Ali Rustam secara terang-terangan menyalahkan kaum Cina atas kekalahan beliau dengan menyifatkan mereka tidak tahu bersyukur dan tidak mengenang jasa beliau. Kenyataan ini paling mengecewakan saya kerana ia lahir dari seorang pemimpin utama negeri. Apa pemimpin ini tidak berakal? Apa jasa perlu dikenang. Kamu dipilih rakyat, dibayar oleh duit rakyat untuk berkhidmat untuk rakyat. Kamu pilih laluan kamu begitu. Apa perlu saya bersyukur dan berterima kasih mengenangkan jasa India Muslim (mamak) Restoren Jamek Maju dihadapan rumah saya yang setiap hari bertungkus lumus bangun awal pagi menebar roti canai dengan panas api hanya untuk saya bersarapan pagi. Saya bayar. Kalau tak sedap, saya tak suka, saya #ubah restoren lain. Begitulah rakyat Melaka membuat pilihan. #Ubah kerana mungkin ‘jasa’ Ali Rustam tidak cukup dan tidak setimpal dengan keperluan ‘tuan’ atau ‘pelanggan’ iaitu rakyat.

Kempen menyemarakkan api perkauman diteruskan oleh media-media arus perdana dan alternatif dengan laporan-laporan yang menuding jari ke arah sesuatu kaum. Paling kontroversi muka utama Utusan Malaysia 7 Mei 2013 membentangkan soalan besar “Apa Cina mahu?” cukup sinis dan sensitif. Saya harap Ketua Pengarang bertanggungjawab sepenuhnya dan memohon maaf segera. Saya difahamkan juga laporan akhbar berbahasa lain tidak kurang hebatnya menuding jari ke Melayu. Terlalu sensitif sehingga saya risau untuk nyatakan disini.

Lihatlah! Siapa sebenarnya yang memulakan api perkauman, siapa yang sebenarnya menyemarakkan api perkauman, siapa yang menyimbah minyak untuk terus membarakan ketegangan kaum yang sedia ada. Pemimpin kita. Tidak kira anda BN atau PR, anda lihat dan nilailah dengan mata hati yang terbuka.

Seharusnya, pemimpin-pemimpin ini menggunakan istilah yang lebih baik iaitu rakyat Malaysia. BN menang kerana rakyat Malaysia bersatu menyokong dasar mereka, bukannya BN menang kerana Melayu suka duit yang dihulur mereka. DAP menang kerana rakyat Malaysia mahukan perubahan besar, bukannya DAP menang kerana Cina sokong mereka. PAS kalah kerana rakyat Malaysia tolak ketidakseimbangan dan manipulasi mereka, bukannya PAS kalah kerana Cina belot pada mereka. “Rakyat” yang mengundi, dan “Rakyat” yang memilih, maka “Rakyat”lah yang seharusnya dijadikan alasan. Bukannya sesuatu bangsa.

Saya pasti, dalam tempoh terdekat ini api kemarahan akan memuncak apabila lebih banyak pemimpin yang akan memberikan komen-komen berbau perkauman, lebih banyak liputan media terutama media alternatif terutama blog bebas yang melagakan antara kaum, dan yang lebih parah apabila media sosial akan digunakan sebagai pentas berdebat secara semberono membabi buta oleh golongan-golongan yang sememangnya sudah buta hati. Hari ini sahaja saya boleh memantau daripada ratusan sahabat-sahabat saya di Twitter, sudah mula hilang akal berbicara soal kaum dengan nada yang kasar.

Nampaknya kita masih belum belajar dengan sejarah. Peristiwa hitam 13 Mei  1969 sepatutnya mengajar kita untuk menjadi lebih rasional dan bijak kerana faktor utama berlakunya insiden berdarah ini adalah kempen pilihanraya umum 1969 yang menggunakan perkauman sebagai senjata oleh kedua pihak. Senarionya sama sahaja. Parti pemerintah ketika itu hilang majoriti 2/3 dan undi popular merosot. Pembangkang meraikan kemenangan besar mereka sehingga membuat perarakan di jalanan. 8 Mei 2013 dirancang satu rapat umum di Stadium Kelana Jaya mungkin adalah satu bahaya kepada kita. Ya! Memang saya membuat andaian liar sahaja. Ya! Memang rapat umum ini tidak bertujuan untuk meningkatkan sentimen perkauman, sama juga ketika perarakan 1969 juga bukan atas dasar perkauman tetapi meraikan. Sebaliknya, ia berubah menjadi perkauman apabila ada dari kalangan yang hadir tidak berotak dan cuba memaki dengan cacian berunsur perkauman. Apa mungkin esok akan terjadi? Saya tidak boleh menolak kemungkinan itu.

Yang lebih malang dan perlu dipelajari oleh semua kesan daripada pilihanraya 1969 dan prestasi buruk parti pemerintah ketika itu adalah apabila pemimpin masyarakat mula menuding jari ke arah sesuatu kaum dan menyalahkan kaum masing-masing. Orang Melayu ketika itu marah dan menganggap kaum Cina tidak mengenang jasa setelah diberi kerakyatan pasca kemerdekaan. Ali Rustam perlu menghayati detik sejarah ini sebelum membuat komen bodoh sebegitu.

Perkara bangang ini perlu dihentikan segera. Ini perlu bermula dengan pemimpin kedua belah BN dan PR. Mohon tidak ada lagi komen-komen yang menuding jari kepada mana-mana kaum secara spesifik tetapi mereka ini adalah rakyat Malaysia. Lim Kit Siang menang besar di Gelang Patah bukan kerana undi Cina, tapi undi rakyat Malaysia yang mahukan perubahan yang lebih besar ke arah Malaysia lebih baik. Sama juga Khairy Jamaluddin yang menang majoriti sangat besar di Rembau bukan kerana undi Melayu, tetapi rakyat Malaysia yang masih yakin dengan kepimpinan beliau dan Barisan Nasional. Ingatlah, kita semua rakyat Malaysia.

Tolonglah, hentikan kempen perkauman yang bodoh ini sebelum ia menjadi parah.

ISU KENAIKAN HARGA MINYAK

Akhirnya Perdana Menteri mengumumkan pengurangan subsidi bagi RON95 dan kenaikan harga bagi RON97 dan diesel. Alasan utama yang dikemukakan kerajaan ialah untuk pemulihan fiskal negara.

Rentetan itu, banyak reaksi negatif kedengaran. Namun ada beberapa reaksi positif turut dikemukakan. Sebagai seorang pendokong pasaran bebas dan pernah menyebut tentang pemulihan fiskal negara ini dalam wacana Bajet 2013 dalam perbincangan di sebuah stesen televisyen swasta, tentulah pendirian kerajaan ini adalah satu langkah yang boleh dipuji. Jarang ahli politik berani mengambil tindakan yang tidak popular. Maka, wajar tindakan yang tidak popular ini diteliti sebabnya dan dinilai kekuatannya.

 

Fungsi harga dalam pasaran

 Dalam sistem pasaran, harga berperanan penting dalam menentukan kecekapan agihan sumber. Harga bertindak sebagai petunjuk kekurangan atau lebihan sumber di pasaran. Ia memberi maklumat kepada semua pihak untuk bertindak sesuai dengan perubahan persekitaran pasaran. Sebagai contoh, jika bekalan minyak kurang sedangkan penggunaannya tinggi, maka harga akan naik.

Apabila harga naik, orang ramai akan memberi reaksi tertentu misalnya tidak keluar bersiar-siar dengan kenderaan atau lebih banyak menggunakan pengangkutan awam yang kosnya lebih rendah. Sementara itu teknologi yang lebih cekap misalnya kenderaan hybrid atau penggunaan NGV akan muncul. Tempat yang mungkin mengandungi simpanan minyak juga akan terus dicari.

Sistem pasaran menjadi tidak cekap apabila mekanisme harga pasaran tidak berfungsi atau terganggu, lazimnya kerana beberapa sebab antaranya campur tangan kerajaan dalam penetapan harga siling atau harga lantai, cukai tinggi, perlindungan terhadap barangan atau perniagaan, kartel atau monopoli dan penipuan peniaga. Berdasarkan semua faktor ini, jelas sekali bahawa banyak pembetulan boleh dan perlu dilakukan oleh kerajaan. Sudah tentu ini menuntut iltizam politik yang jitu serta komitmen tidak berbelah bahagi semua pihak, khususnya jentera kerajaan sendiri.

Kebimbangan

Kebimbangan ramai ialah ini tidak mungkin berlaku. Ini terutama apabila sesetengah pihak yang cuba menunjukkan sokongan kepada rasionalisasi harga minyak tidak bersedia mengaku beberapa kelemahan dasar dan pengurusan ekonomi oleh kerajaan. Kita ambil misalnya, dalam kerancakan mempromosi 1Malaysia, tanpa disedari kerajaan cuba bersaing dengan pasaran melalui kedai rakyat 1Malaysia.

Seterusnya, semasa kritikan terhadap defisit secara berterusan dan peningkatan hutang negara disebut, pemimpin kerajaan cuba menjustifikasikan hutang ini, seolah-olah jika kita menambah lagi hutang domestik sampai bila-bila tidak akan menjadi masalah. Ujiannya boleh dilihat kini, mengapakah kerajaan tidak menambah hutang domestik untuk menanggung subsidi? Jelas, alasan hutang domestik itu tidak dapat bertahan bahkan boleh memberikan kesan himpitan keluar (crowding out effect) kepada ekonomi.

Selain itu, selepas pilihan raya umum ke-13 pihak kerajaan baru hendak membentangkan tambahan peruntukan belanjawan 2012, sekali lagi menambah defisit! Maka jangan ditanya mengapa orang ramai mempersoalkan komitmen kerajaan. Seterusnya, orang ramai bersuara tentang kesan gandaan daripada kenaikan yang berlaku. Ini adalah kesan yang tidak diniatkan (unintended consequence). Ia tidak boleh dipandang remeh hanya kerana teori ekonomi yang dikemukakan mempunyai asas kukuh. Sementara benar subsidi harga minyak lebih banyak dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi, penarikan subsidi minyak pula lebih banyak akan menekan golongan berpendapatan rendah. Inilah perangkap subsidi (subsidy trap) dan sebab itulah rasionalisasi subsidi diperlukan sebelum terlambat.

Komunikasi jujur

Dasar yang baik perlu dikomunikasikan dengan jujur. Selain itu, tindakan teladan juga perlu ditunjukkan oleh kerajaan. Kerajaan mesti mendedahkan berapakah harga minyak sebenar di pasaran, jumlah subsidi sebenar dan berapakah kenaan cukai yang diambil. Memandangkan selama ini Petronas bertanggungjawab terus kepada Perdana Menteri, adalah wajar mekanisme bagi penentuan harga minyak turut didedahkan.

Saya percaya maklumat sebenar yang dikomunikasi dengan jujur lebih mudah dipertahankan. Selain itu, kerajaan perlu mengemukakan rancangan pengurangkan belanja pengurusan yang mencecah lebih 80% belanjawan negara. Saya percaya orang ramai, khususnya pembayar cukai, akan lebih berpuas hati sekiranya peratusan tersebut pergi kepada belanja pembangunan kerana dengan itu ia akan dapat mengimbangi kemajuan, khususnya di negeri-negeri dan daerah-daerah yang tertinggal. Ia juga akan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk di sekitar kawasan berkenaan.

Teruskan perbincangan

Isu ini juga perlu terus dibincangkan kerana rasionalisasi subsidi tidak hanya terhenti setakat itu. Dalam beberapa petunjuk yang ada, jelas bahawa belanjawan negara banyak bergantung dengan hasil minyak walhal usaha pencarian telaga minyak semakin menemui jalan buntu. Simpanan minyak mentah negara juga menunjukkan ia hanya dapat bertahan sekitar 20-25 tahun berdasarkan kadar penggunaan pada tahun 2009. Simpanan ini mungkin bertambah tetapi kita tidak boleh lekas berpuas hati dengannya.

Sementara itu, faktor jangka panjang seperti pertambahan penduduk dunia dan pertumbuhan ekonomi dunia pasti akan menambah permintaan minyak. Sebagai komoditi dagangan yang biasa, pemulihan ekonomi yang sedang diusahakan di banyak negara kini pasti akan mendorong kenaikan mendadak permintaan minyak.

Rasionalisasi harga minyak perlu dibuat tetapi dasar lebih menyeluruh untuk menambah baik ekonomi lebih mustahak. Dalam perbincangan Bajet 2013 yang sama juga saya turut menegaskan kejayaan bantuan subsidi bukanlah kerana semakin ramai menerimanya tetapi bila semakin ramai keluar daripada pergantungan kepadanya. Ini adalah paradigma yang perlu digunakan oleh kerajaan dan orang ramai yang menerima bantuan kerajaan.